
MBMB SEIMBANG TANGANI ISU RAKYAT, CERIAKAN KAWASAN PENTADBIRAN
AYER KEROH 2 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan keceriaan bandar, malah turut memastikan isu serta permasalahan rakyat ditangani secara seimbang.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu turut merangkumi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penyelenggaraan bagi meningkatkan kesejahteraan serta keselesaan penduduk.
Menurutnya, selain melaksanakan projek naik taraf dalam membantu Kerajaan Negeri menggamit kedatangan pelancong, MBMB turut memberi perhatian terhadap isu banjir di beberapa kawasan sudah dikenal pasti.
“MBMB bukan hanya membuat jejantas sahaja sebaliknya banyak projek lain dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti isu banjir di Pulau Kelapa yang telah kita ambil tindakan.
“Contoh di Pulau Kelapa ini, masalah banjir berlarutan lebih 30 tahun kini dapat ditangani selepas MBMB melaksanakan projek melebarkan longkang membabitkan peruntukan kira-kira RM1.5 juta.
“Selain itu masalah banjir di Desa Duyong juga kita sudah selesaikan dan ia memberi impak amat bagus kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff, di Graha Makmur, semalam.
Menurut Shadan, MBMB kini juga dalam proses menyelesaikan masalah banjir di Bukit Rambai menerusi pembinaan kolam takungan bagi membantu mengurangkan risiko limpahan air di kawasan berkenaan.
“Kemajuan projek kolam takungan ini sudah mencapai 20 peratus iaitu melibatkan kerja-kerja penggalian, mengikut jangkaan kemudahan ini akan siap pada Februari 2028,” katanya.
Jelas beliau, MBMB tidak mengabaikan isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat, namun pada masa sama aspek keceriaan, kebersihan dan keindahan kawasan turut diberi perhatian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

