TOK RAUF TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID PENGKALAN BALAK YANG BERWAJAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak, yang kini berwajah baharu.

Masjid itu dibuka semula kepada jemaah, semalam, selepas kerja baik pulih masjid berusia lebih satu abad itu disiapkan.

Terdahulu, Ab Rauf tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 12.45 tengah hari sebelum mendengar khutbah bertajuk ‘Memelihara Nasab dan Keturunan’ dan seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 500 jemaah.

Masjid Al-Jawahir yang menjadi antara masjid bersejarah di kawasan Pengkalan Balak itu mula dibina pada 1911 sebelum dibina semula pada 1959 dengan bantuan Kerajaan.

Masjid berkenaan sebelum ini berdepan masalah kebocoran bumbung akibat faktor usia bangunan, sebelum kerja baik pulih secara menyeluruh dilaksanakan dengan peruntukan kira-kira RM1.4 juta hasil usaha dilakukan Ab Rauf.

Kerja berkenaan bukan sahaja membabitkan bumbung, malah turut melibatkan beberapa struktur bangunan serta kemudahan utama termasuk pembinaan kubah baharu, penggantian karpet dan pemasangan sistem pembesar suara baharu.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati kerja baik pulih menyeluruh yang selesai dilaksanakan jelas memberi keselesaan kepada kariah untuk menunaikan ibadah.

Masjid Al-Jawahir juga mempunyai kedudukan tersendiri kerana kawasan Pengkalan Balak merupakan antara lokasi tumpuan pelancong di negeri ini sekali gus menjadikan masjid itu antara kemudahan penting untuk penduduk dan pengunjung yang singgah untuk menunaikan solat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA KEMBALI GEMILANG, TERSOHOR