
KES SELEWENG, TIPU PENGGUNA DI MELAKA MENURUN TAHUN INI
AYER KEROH 2 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka terus memperkukuh usaha melindungi pengguna menerusi tindakan penguatkuasaan dengan sebanyak 401 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, hasil usaha berterusan pihaknya dalam memastikan pematuhan undang-undang perdagangan dan kepenggunaan.
Menurutnya, kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 mencatat jumlah tertinggi iaitu 192 kes, diikuti Akta Perlindungan Pengguna 1999 sebanyak 80 kes dan Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 68 kes.
“Selain itu, turut direkodkan 42 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, lapan kes Akta Hak Cipta 1987, empat kes Akta Cap Dagangan 2019, tiga kes Akta Perihal Dagangan 2011 serta masing-masing dua kes di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Jualan Langsung 1993,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program PATUH (3P) 2026 Peringkat Negeri Melaka di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Hazimin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan urus niaga, khususnya pembelian secara dalam talian, dengan mendapatkan maklumat berkaitan penjual dan produk terlebih dahulu.
Katanya, antara aduan pengguna yang kerap diterima KPDN Melaka adalah berkaitan transaksi dalam talian, termasuk pengguna menerima barangan yang tidak sepadan dengan pesanan dibuat.
“Ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian. Jadi saya minta rakyat Negeri Melaka, khususnya pengguna supaya prihatin dan berhati-hati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

