
BERAS MELAKA: DARI SAWAH KE MEJA MAKAN RAKYAT
AYER KEROH 2 Oktober – Dari sawah yang diusahakan pesawah tempatan hingga ke meja makan rakyat, inisiatif Beras Melaka terus diperkasa Kerajaan Negeri sebagai usaha memperluas akses kepada beras tempatan pada harga berpatutan, selain memastikan hasil padi negeri ini mempunyai pasaran yang lebih tersusun.
Menerusi inisiatif berkenaan, sebanyak 1,200 kampit Beras Melaka seberat 10 kilogram dikeluarkan setiap bulan untuk dipasarkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai pengedar tunggal.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Beras Melaka yang dijual pada harga serendah RM26 bagi kampit 10 kilogram itu bukan sahaja memberi pilihan kepada pengguna, malah menjadi antara usaha Kerajaan Negeri memastikan rakyat mendapat bekalan beras tempatan pada harga berpatutan.
“Beras Melaka ini setiap bulan pengeluarannya adalah sebanyak 1,200 kampit yang akan diedarkan oleh FAMA di pasar tani termasuk di Agrobazaar Kedai Rakyat,” katanya.
AKSES LEBIH MELUAS
Sementara itu, Pengarah FAMA Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, inisiatif memperkenalkan Beras Melaka khusus untuk rakyat di negeri ini merupakan langkah strategik yang bukan sahaja membantu memperluas pilihan pengguna, malah menyumbang kepada usaha menstabilkan harga dan keberadaan beras tempatan di pasaran.
Menurutnya, sepanjang 2025 sebanyak 70,601 kampit Beras Melaka bersamaan kira-kira 70 metrik tan hasil tuaian padi varieti MR 297 berjaya dipasarkan dengan nilai jualan kira-kira RM1.7 juta.
“Manakala untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini jumlah keseluruhan Beras Melaka yang telah dipasarkan adalah sebanyak 5,900 kampit dengan nilai jualan yang direkodkan sebanyak RM153,400,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, pelantikan FAMA sebagai pengedar tunggal Beras Melaka selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri di bawah portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan urusan pengedaran dapat diselaraskan menerusi satu agensi.
“Pendekatan ini membolehkan urusan pengedaran Beras Melaka diselaras melalui satu agensi selain memastikan bekalan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh ke seluruh kawasan termasuk luar bandar.
“Bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada rakyat, pelbagai saluran penjualan disediakan antaranya pengguna boleh mendapatkan bekalan melalui outlet rasmi FAMA seperti Pasar Tani FAMA, Jualan Agro MADANI dan jualan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
“Pendekatan pelbagai saluran jualan ini bagi memastikan Beras Melaka dapat diakses dengan mudah oleh rakyat di pelbagai lokasi,” katanya.
PESAWAH TURUT MENERIMA MANFAAT
Di sebalik usaha memastikan rakyat memperoleh beras tempatan pada harga berpatutan, inisiatif Beras Melaka turut memberi kesan langsung kepada komuniti pesawah apabila hasil padi mereka mempunyai saluran pemasaran yang lebih tersusun.
Pesawah, Rahmad Bahanan, 62, berkata, inisiatif berkenaan wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu memperkukuh kedudukan pesawah tempatan dalam rantaian industri beras.
Katanya, usaha berkenaan juga dilihat sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam pemasaran hasil padi tempatan.
“Di pihak pesawah kami menyahut pengeluaran Beras Melaka ini dan ia wajar diteruskan kerana inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi secara tidak langsung kepada komuniti pesawah,” katanya.
Bagi memperkukuh lagi industri padi dan beras di Melaka, komuniti pesawah khususnya Rahmad turut mencadangkan supaya sebuah Unit Mini Jelapang Selatan diwujudkan.
Katanya, penubuhan unit berkenaan mampu memperkukuh pengurusan serta pembangunan industri padi dan beras di negeri ini, khususnya dengan menyediakan satu platform komunikasi yang lebih berkesan antara agensi, pesawah dan Kerajaan Negeri.
“Menerusi penubuhan ini ia akan membantu komunikasi berkesan antara agensi, pesawah dan Exco dalam mengemaskini perkembangan semasa termasuk berkaitan pelaksanaan program serta keperluan pesawah di lapangan,” katanya.
RAKYAT DAPAT BERJIMAT
Sementara itu, rakyat dari Taman Seri Serkam, Mohd Fauzaini Mohd Shariff, 60, memuji usaha Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif Beras Melaka pada harga RM26 bagi 10 kilogram kerana ia amat berpatutan dan membantu rakyat berjimat.
Malah sebagai rakyat Melaka, dia turut melihat pembelian produk berkenaan sebagai salah satu bentuk sokongan terhadap hasil keluaran negeri serta inisiatif Kerajaan Negeri.
“Harga RM26 untuk 10 kilogram memang amat berpatutan. Sebagai rakyat Melaka, kita kena sokong produk keluaran Melaka dan inisiatif Kerajaan Negeri.
“Dari segi rasa dan kualiti pula, saya lihat sama seperti beras tempatan lain yang ada di pasaran. Dengan adanya Beras Melaka ini, ia pastinya dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

