
RESTORAN ARAB ‘KANTOI’ SOROK 230KG MINYAK MASAK SUBSIDI DALAM TIMBUNAN SAMPAH
PENGKALAN BATU 2 Oktober – Taktik sebuah restoran makanan Arab menyembunyikan kira-kira 230 kilogram minyak masak bersubsidi di sebalik timbunan sampah kering terbongkar dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di Bukit Baru, hari ini.
Serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilakukan lima anggota penguat kuasa KPDN Melaka selepas risikan selama tiga minggu mendapati premis berkenaan disyaki menyeleweng minyak masak paket bersubsidi untuk kegunaan komersial.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, minyak masak bersubsidi pelbagai jenama itu ditemukan disorok dalam plastik hitam bersama timbunan sampah kering di tingkat tiga premis berkenaan.
“Sebanyak kira-kira 230 kilogram minyak masak paket bersubsidi bernilai RM575 ditemukan dalam serbuan ini.
“Minyak berkenaan disorok bersama timbunan sampah kering dipercayai bagi mengaburi pihak penguat kuasa daripada mengesan kewujudannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak bersubsidi itu diperoleh dari luar Melaka dan ditempah oleh ibu pejabat rangkaian restoran berkenaan yang berpusat di Kuala Lumpur.
Katanya, minyak masak bersubsidi itu dihantar ke cawangan di Melaka menggunakan perkhidmatan kurier selepas pesanan dibuat, dipercayai sebagai modus operandi bagi mengelakkan kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama,” katanya.
Mohd Hazimin berkata, KPDN Melaka akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu bagi membendung ketirisan subsidi serta memastikan barang kawalan tidak disalahgunakan untuk kepentingan komersial.
“KPDN Melaka memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak memanipulasi, menyeleweng atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menjadi mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlaku salah laku berkaitan perdagangan atau kepenggunaan.
Aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800, aplikasi Ez Adu KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-234 5869, dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

