MAIM NAFI PREMIS PANEL NAIKKAN HARGA BARANG BANTUAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menafikan dakwaan premis panelnya mengenakan harga jualan tinggi kepada penerima bantuan makanan bulanan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, semakan dan tinjauan awal yang dijalankan pegawai zakat cawangan Melaka Tengah dan Alor Gajah bersama kumpulan penyiasat mendapati harga barangan di beberapa premis panel adalah berpatutan.

Menurutnya, dakwaan harga mi segera hampir RM7 sebungkus perlu dilihat berdasarkan saiz bungkusan kerana harga berkenaan adalah bagi mi segera bersaiz besar.

“Mengenai dakwaan harga mi segera dikatakan mencecah hampir RM7 sebungkus, ia adalah untuk mi segera bungkusan bersaiz besar.

“Semakan yang kita jalankan di kedai panel MAIM mendapati mi segera bagi bungkusan besar dijual antara RM7 hingga RM7.40.

“Jadi, harga jualan di premis panel MAIM adalah berpatutan dan bukannya mengenakan harga tinggi kepada penerima bantuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas ditanya mengenai tangkap layar tular di media sosial oleh seorang individu yang mendakwa dikenakan harga lebih tinggi bagi beberapa barangan di premis panel MAIM bagi penerima bantuan makanan bulanan.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati kadar harga yang dikenakan kepada penerima bantuan MAIM adalah sama seperti pelanggan biasa dan tidak wujud tindakan sengaja meletakkan harga lebih tinggi kepada golongan berkenaan.

Menurutnya, perbandingan harga antara premis panel MAIM dengan pasar raya besar juga perlu mengambil kira faktor margin keuntungan peruncitan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung premis panel yang mengenakan harga tidak munasabah boleh memaklumkan secara terus kepada MAIM untuk membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Sekiranya didapati ada premis panel MAIM mengenakan harga jualan yang tinggi, MAIM tidak teragak-agak mengambil tindakan menghentikan premis berkenaan daripada menjadi panel MAIM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post RESTORAN ARAB ‘KANTOI’ SOROK 230KG MINYAK MASAK SUBSIDI DALAM TIMBUNAN SAMPAH