KPMM lebar sayap perniagaan ke Riau

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KESIDANG 29 Februari – Syarikat Koperasi Prihatin Makmur Melaka (KPMM) Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PT Tanjak Riau Sejahtera, Indonesia bagi memperluaskan lagi jaringan perniagaan dalam pelbagai sektor antara kedua-dua buah negara.

Ketua Pengarah Syarikat KPMM, Datuk Khazran Elmeey Muhammad Ali berkata, usaha itu bukan sahaja membantu KPMM meneroka bidang perniagaan baharu, sebaliknya mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan baharu.

“Kami menjalankan pelbagai perniagaan termasuklah dalam bidang pendidikan, dengan usaha ini sudah tentu ia memberi peluang kepada anak-anak muda untuk sertai KPMM.

“Saya percaya zaman ini ramai anak-anak muda khususnya graduan sukar untuk mendapatkan kerja, jadi KPMM salah satu syarikat yang boleh melatih mereka selain memberikan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian MoU Syarikat KPMM dan PT Tanjak Riau Sejahtera di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah PT Tanjak Riau Sejahtera, Halmindar Alizar dan Pengarah KPMM Tanjak Holdings, Hasif Zakwan Mohd Hamidi.

Sementara itu, Halmindar berkata kerjasama itu juga akan membabitkan perkongsian ilmu selain teknologi antara Malaysia dan Indonesia.

“Tujuan pertama kita sudah tentu untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor pengangkutan, pertanian dan lain-lain kerana Malaysia serta Indonesia mempunyai perkembangan ekonomi yang sangat baik.

“Apabila ada kerjasama sebegini kita dapat memperkukuhkan lagi perancangan akan dilaksanakan pada masa akan datang. Biarpun ini adalah kali pertama kita menjalinkan kerjasama dengan Malaysia, namun usaha dilaksanakan ini sudah tentu memberikan impak positif kepada semua,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post Gagal sedia penginapan selesa, lapan majikan dikenakan tindakan
Next post KWSP dijangka umum inisiatif akaun 3 pada April ini – Amir Hamzah
Ubah saiz-+=