KPT cadang IPT seluruh negara daftar pelajar, pembelajaran secara dalam talian

MELAKA 2 Okt. – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar menangguhkan sementara pendaftaran secara fizikal pelajar baharu dan lama ke kampus, susulan peningkatan semasa kes COVID-19 negara.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik ke laman rasminya di Facebook hari ini, KPT turut mencadangkan agar kesemua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian, termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

“Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

KENYATAAN KPT berhubung cadangan menukar pengajian dan pendaftaran pelajar ke atas talian yang dimuatnaik di Facebook hari ini.

“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing. Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua program di IPT juga perlu ditangguhkan termasuk aktiviti yang membabitkan himpunan di dalam kampus.

“KPT juga telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus.

“Khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing. Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember.

“Keprihatinan dan kepekaan daripada semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini,” jelas kenyataan itu.

Views:

1
Previous post Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia
Next post Melaka mohon MFL tukar lokasi perlawanan Melaka United