Melaka mohon MFL tukar lokasi perlawanan Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER MOLEK 2 Okt. – Kerajaan negeri mencadangkan pengurusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menukar lokasi aksi perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Kedah yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri menzahirkan kebimbangan sekiranya perlawanan diteruskan berikutan lokasi perlawanan itu merupakan kawasan berisiko tinggi penularan COVID-19.

Justeru katanya, kerajaan negeri memohon MFL mempertimbangkan semula untuk mengadakan perlawanan di lokasi berkecuali daripada pandemik itu.

“Saya difahamkan pasukan Melaka United akan memulakan perjalanan ke Alor Setar pada Jumaat ini dan akan berada di sana selama tiga hari.

“Bagi pihak Kerajaan Melaka, saya melahirkan rasa bimbang dengan pemergian pasukan Melaka United ke sana terhadap risiko itu.

“Saya syorkan supaya perlawanan diadakan di lokasi yang berkecuali atau di negeri lain seperti di Perak,” katanya pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelerasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, di sini hari ini.

Rahmad berkata, pertukaran aksi perlawanan itu ke lokasi berkecuali adalah langkah terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pemain.

“Selain itu, langkah itu boleh mengurangkan penularan COVID-19 serta menjamin keselamatan rakyat di negeri ini sebaik sahaja semua pemain itu pulang ke negeri ini.

“Saya berharap cadangan dipertimbangkan oleh MFL,” katanya.

Terdahulu, selepas aksi Liga Super menentang Sabah pada Ahad lalu, skuad Hang Tuah diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan selepas mendapatkan keputusan ujian Covid-19.

Berikutan itu, MFL mengumumkan aksi Liga Super di antara Kedah dan Melaka United yang dijadualkan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada malam ini, dipinda pada 4 Oktober ini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post KPT cadang IPT seluruh negara daftar pelajar, pembelajaran secara dalam talian
Next post Lima kes COVID-19 direkodkan, kesan lebih 50 kontak rapat di Melaka
Ubah saiz-+=