Lima kes COVID-19 direkodkan, kesan lebih 50 kontak rapat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 2 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka merekodkan lima kes membabitkan individu positif COVID-19 sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, dua dari kes berkenaan yang dikesan merupakan individu yang melancong ke Semporna, Sabah manakala dua lagi merupakan individu yang menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut katanya, bagi satu lagi kes di Ramuan China membabitkan warga emas tidak dapat dipastikan punca jangkitan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Seorang daripada individu yang dikenal pasti menyertai aktiviti kempen PRN di Sabah telah pulang pada 26 September lalu, namun pada ketika itu ujian calitan (swab test) dikuatkuasakan sehari selepas itu.

“Seramai sembilan orang terbabit (pulang daripada Sabah pada 26 September) melakukan ujian calitan secara sukarela di atas kebimbangan dan seorang didapati positif,” katanya pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, di sini hari ini.

Rahmad berkata, daripada jumlah itu, lebih 50 individu dikenal pasti kontak rapat telah menjalani ujian calitan dan kuarantin wajib selama 14 hari.

“Bagi kes pertama, seramai 28 kontak rapat di kenal pasti manakala 11 individu pada kes kedua (masing-masing kes di Jasin).

“Manakala bagi kes ketiga, seramai tujuh individu dikenal pasti, manakala semalam (kes ADUN Ayer Limau), seramai empat individu kontak rapat dikenal pasti,” katanya.

Berikutan itu, semua lokasi berkaitan kes COVID-19 terbabit termasuk kediaman pesakit serta bangunan Seri Negeri disanitasi bagi langkah keselamatan.

Views:

384
Kongsi :
Previous post Melaka mohon MFL tukar lokasi perlawanan Melaka United
Next post “Tiada penukaran tarikh HSN” – Pengarah JBS Melaka
Ubah saiz-+=