Sorting by

×

KPT rancang buka IPT bermula Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 4 Sept – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober depan.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, rancangan itu adalah melalui Pelan Pemulihan IPT (PEMULIH IPT) dan langkah tersebut selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila kesemuanya lengkap divaksin seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas beliau pada 22 Ogos lalu.

Beliau berkata perkara itu juga telah dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara kelmarin.

“Bagi menjayakan agenda ini, petang tadi (semalam) saya telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi mencadangkan supaya pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing.

“Panjang lebar perbincangan kami dan matlamat kami adalah sama untuk menyediakan komuniti kampus yang selamat menjelang Oktober nanti,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Noraini berkata KPT mengunjurkan keperluan sebanyak 1.296 juta dos vaksin bagi 648,000 pelajar yang masih belum menerima vaksin dan KPT mencadangkan supaya pusat pemberian vaksin IPT dijadikan PPV khusus untuk pelajar serta kakitangannya.

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan program vaksinasi pelajar dilaksana secara besar-besaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post ‘Dek Wan’ gagal pertahan emas Rio 2016
Next post Khairy akan bincang dengan KPM wajibkan vaksinasi untuk guru
Ubah saiz-+=