
KUALA SUNGGA SEMAKIN DIKENALI
MACHAP JAYA 9 Mei – Kuala Sungga yang terletak di kawasan paling hujung Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya mempunyai keunikan tersendiri dari segi geografi kerana ia terletak di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sungga Baharom Salim berkata, ekonomi penduduk di kawasan itu banyak bergantung kepada sektor pertanian dan keusahawanan kecil.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuala Sungga menunjukkan perkembangan positif hasil pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat meskipun penduduknya sekitar 2,000 orang sahaja.
“Walaupun masih ramai yang kurang mengenali Kuala Sungga, kawasan ini kini semakin mendapat perhatian, terutama di bawah pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.
“Antara usaha dilakukan termasuk mengangkat semula permainan tradisi ngoca yang kini menjadi acara tahunan dan sentiasa dinanti-nantikan.
“Ngoca ialah aktiviti menangkap ikan secara beramai-ramai menggunakan tangan di dalam parit berlumpur dan tradisi itu kini diberi nafas baharu dan berjaya menarik penyertaan pengunjung dari luar, sekali gus menjadikan Kuala Sungga semakin dikenali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambahnya, penambahbaikan infrastruktur turut dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya di persimpangan utama ke kawasan itu yang dinaik taraf dan dilengkapi lampu isyarat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


