KUIM anjur Program Cabaran Turun Berat Badan, bendung masalah obesiti

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA, 29 Dis – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menganjurkan Program Cabaran Turunkan Berat Badan Dalam Masa 50 Hari bagi membantu mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negeri ini.

KUIM, dalam satu kenyataan memaklumkan program dengan kerjasama pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Teluk Mas itu telah menarik penyertaan seramai 150 orang.

Program itu bermula 12 Dis lepas dengan berat dan ketinggian semua peserta direkodkan secara rasmi pada pelancaran program yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Noor Effendi Ahmad dan turut dihadiri Naib Canselor KUIM Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora.

“Program itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan matlamat utamanya ialah untuk memupuk gaya hidup sihat dan memberi kesedaran tentang bahayanya obesiti dalam kalangan masyarakat.

“Kesemua peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan akan dibimbing oleh fasilitator yang terdiri daripada tenaga pengajar kejururawatan Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan KUIM,” menurut kenyataan itu.

Menurut KUIM, antara aktiviti sepanjang tempoh 50 hari itu ialah perkongsian tips kesihatan bagi mengawal berat badan dan amalan gaya hidup sihat, aktiviti fizikal seperti aerodance, fun ride dan fun run serta beberapa lagi aktiviti yang menarik termasuk ceramah kesihatan secara dalam talian.

Program itu turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 kepada peserta yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak.

Terdapat empat kategori bagi program cabaran turunkan berat badan iaitu kategori lelaki dengan berat lebih 90 kilogram (kg) dan kurang daripada 90 kg serta kategori perempuan dengan berat lebih 90 kg dan kurang 90 kg.

“Pada hari ke-50, semua peserta akan diambil berat badan dan ketinggian bagi mendapatkan perbezaan dengan bacaan yang diambil pada hari pertama, yang seterusnya menentukan pemenang,” katanya dan menambah program itu dijangka menjadi perintis untuk program berskala besar pada masa akan datang.
– BERNAMA

Views:

1162
Kongsi :
Previous post Whatsapp hanya sokong versi iOS & Android tertentu pada 2021
Next post Dewan Negara bahas usul kartel daging haram
Ubah saiz-+=