Kutipan Zakat Melaka pada 2022 lebih RM116 juta

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 10 Januari – Kutipan zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meningkat lebih 10 peratus apabila merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM116.8 juta sepanjang tahun 2022.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain kutipan, jumlah pembayar zakat yang direkodkan juga meningkat 4.83 peratus menjadikan keseluruhan pembayar seramai 53, 414 orang.

“Pada tahun ini Zakat Melaka merekodkan peningkatan sebanyak 10.21 peratus atau RM10, 826, 149.55 menjadikan jumlah kutipan sehingga 31 Disember 2022 sebanyak RM116.8 juta berbanding hanya RM106 juta tahun sebelumnya.

“Manakala bilangan pembayar juga meningkat daripada seramai 50, 953 pada 2021 kepada 53, 414 orang pada tahun lalu, menjadikan peningkatan pembayar sebanyak 4.83 peratus keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil.

Sulaiman berkata, daripada tujuh kategori zakat yang dikutip, zakat pendapatan merekodkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM69.4 juta diikuti zakat wang simpanan dengan jumlah kutipan RM22.4 juta dan zakat perniagaan berjumlah RM16.8 juta.

“Manakala kutipan zakat terendah pula adalah dari zakat pertanian dengan jumlah RM57,347.09. Namun begitu kesemua kutipan zakat diterima menunjukkan peningkatan, begitu juga dengan bilangan pembayar.

“Untuk tahun ini pula, kita menyasarkan jumlah kutipan zakat yang akan diperoleh daripada pembayar berjumlah RM118 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2990
Kongsi :
Previous post Lapan cedera dalam kemalangan sembilan kenderaan
Next post 17 syarikat korporat, koperasi tunai zakat perniagaan
Ubah saiz-+=