Lagak ngeri ‘Pahlawan Merah’

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 19 September – Terdedah risiko kecederaan serius dan boleh membawa maut, namun itu tidak melemahkan semangat buat pelagak aksi (stuntman) dari pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat (Army Red Warrior).

Pasukan yang ditubuhkan pada 1963 itu kini telah memasuki usia 60 tahun dan masih setia menghiburkan rakyat Malaysia dengan aksi akrobatik bermotosikal yang cukup luar biasa.

Ketua Penyelia Army Red Warrior Pegawai Waran II Jeffry Muin, 40 berkata, sejak ditubuhkan, pasukan itu kerap dipanggil membuat persembahan pada hari-hari keraian negara dan negeri, selain turut terlibat pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, baru-baru ini.

Pasukan dengan keanggotaan seramai 50 orang iaitu 45 lelaki dan lima wanita itu dikhususkan kepada elemen persembahan Tentera Darat dan sehingga kini telah membuat 10 hingga 20 persembahan secara purata pada setiap tahun.

Kata Jeffry, sejak menyertai pasukan berkenaan pada 2002, pelbagai pahit manis telah ditempuhnya.

Namun, kecekalan sebagai seorang anggota tentera menguatkan semangat dia dan pasukan untuk terus bangkit dan memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah aksi di Dataran Merdeka yang mana saya gagal mengawal motosikal dan terjatuh ketika persembahan, mujurlah tiada kecederaan serius berlaku.

“Sebenarnya patah dan terkehel tulang itu sudah menjadi asam garam buat pasukan kami, malah setakat ini ada empat orang rakan sepasukan masih menjalani fisioterapi akibat kecederaan ketika latihan mahupun persembahan.

“Tetapi jiwa tentera kami begitu menebal. Walaupun ahli keluarga juga bimbang dengan apa yang kami lakukan, namun mereka faham tugas kami dan sentiasa memberikan sokongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia dan pasukan ditemui selepas mengadakan persembahan ‘Night Stunt’ sempena program Santai@Banda Hilir di Dataran Memorial Pengisytiharan Sejarah, di sini, pada Sabtu.

photo_2023-09-17_01-16-26
Ketua Penyelia Team Akrobatik Motosikal Army Red Warrior Tentera Darat, Jeffry Muin ditemui sempena program Santai@Banda Hilir di Dataran Memorial Pengisytiharan Sejarah, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Aksi yang disaksikan lebih 12,000 pengunjung itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Jeffry, pasukan yang berpangkalan di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur itu kini memiliki 18 aset motosikal terdiri daripada scrambler, motosikal berkuasa tinggi dan motosikal antik.

Jelasnya, jumlah itu akan ditambah selepas pihaknya membuat permohonan pembelian aset baharu motosikal yang lebih canggih.

Pertambahan aset itu ujarnya penting bagi merealisasikan misi mereka untuk memecahkan rekod lompatan motosikal yang dipegang pada tahun 2001.

“Sebelum ini, rekod lompatan ialah sebanyak 15 buah kereta kancil yang dilakukan di Johor Bahru pada tahun 2001 oleh sahabat saya.

“Jadi, kalau boleh kita mahu pecahkan rekod ini dengan lompatan mengatasi 20 buah Proton Saga iaitu anggaran sejauh 40 hingga 50 meter,” katanya.

photo_2023-09-17_01-16-04
Persembahan ‘Night Stunt’ tim akrobatik Red Warrior Army Tentera Darat sempena program Santai@Banda Hilir di Dataran Memorial Pengisytiharan Sejarah, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

839
Kongsi :
Previous post Terapi mural bantu kurangkan tekanan banduan
Next post Suhaizan angkat sumpah Ahli Parlimen Pulai, Nik Abduh dilantik Senator
Ubah saiz-+=