Suhaizan angkat sumpah Ahli Parlimen Pulai, Nik Abduh dilantik Senator

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kaiat mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Suhaizan, 50, mengangkat sumpah jawatan itu susulan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 Sept lepas.

Johari dalam pemasyhuran mengucapkan tahniah kepada Suhaizan dan berharap beliau dapat menjalankan tugas penuh tanggungjawab dan berkhidmat dengan penuh dedikasi serta cemerlang.

“Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dan sebagai semak imbang kepada cabang eksekutif demi memanfaat pembangunan negara, justeru peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mesti dihayati sebaiknya.

“Saya yakin Ahli Yang Berhormat akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat ini dengan terhormat seperti dituntut oleh institusi ini dan saya berharap selepas majlis angkat sumpah ini Ahli Yang Berhormat dapat mula menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan memberi sumbangan berfaedah dan bermakna kepada Dewan ini dan seterusnya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Pada PRK itu, Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Sementara itu di Dewan Negara, bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, 53, mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelantikan Nik Mohamad Abduh bagi tempoh 8 Julai 2023 hingga 7 Julai 2026 itu adalah atas pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika mengalu-alukan Nik Mohamad Abduh mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai senator dan percaya beliau dapat menyumbang untuk menaikkan lagi kualiti perbahasan dan menimbang sebarang usul yang dibawa dalam Dewan Negara.

“Saya menyarankan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negara agar lebih proaktif dan kreatif dalam memastikan pendapat intelektual mereka turut disampaikan kepada rakyat melalui media utama dan juga dalam media sosial.

“Adalah penting untuk rakyat secara amnya mengetahui bahawa pendapat dan input-input yang produktif dan kreatif daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negara memainkan peranan yang penting dalam membahas dan menimbang usul yang dibawa daripada Dewan Rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post Lagak ngeri ‘Pahlawan Merah’
Next post Tujuh perkara penting jadikan Melaka negeri mesra pelabur – KM
Ubah saiz-+=