LALUAN BERLIKU, PANORAMA MEMUKAU JADI TARIKAN RALLY OF ASAHAN
ASAHAN 18 Disember – Rally Of Asahan yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini bukan sekadar sebuah perlumbaan kereta tetapi lebih daripada itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kejohanan julung kali diadakan itu bakal membawa peserta menempuh laluan mencabar di kawasan berbukit dan berliku sekali gus menjanjikan aksi yang mendebarkan.
Pada masa sama, beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, program itu juga menjadi platform mempromosi Asahan sebagai pusat sukan permotoran baharu Negeri Melaka.
“Kejohanan ini akan membawa peserta dan peminat melalui laluan yang mencabar dengan panorama alam sekitar Asahan yang memukau.
“Rally ini bukan sekadar perlumbaan, ia juga medan menguji kemahiran pemandu dan jentera dalam laluan berbukit serta berliku.
“Diharap acara ini juga dapat mempromosikan keindahan semula jadi Asahan sebagai destinasi pelancongan utama Melaka,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Menurut Fairul Nizam, kejohanan tersebut akan berlangsung di Felda Tun Ghaffar, Bukit Senggeh dan Estet Nyalas, Kampung Gubah.
Jelas beliau, sebanyak sembilan ‘Special Stages (SS)’ telah disusun di lokasi perlumbaan dan majlis penutup dijangka akan diadakan di Kompleks Japerun Asahan pada petang Ahad.
Masuk adalah percuma untuk orang ramai yang berminat menyaksikan perlumbaan Rally Of Asahan ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.