Sorting by

×

LAMPU SOLAR TERANGI LALUAN KAMPUNG BUKIT KATONG-BUKIT LANGSAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

RIM 13 September – Penduduk Kampung Bukit Katong dan pengguna jalan raya yang melalui laluan utama menuju ke Bukit Langsat kini boleh menarik nafas lega apabila sebanyak 33 lampu jalan solar dipasang bagi memberi pencahayaan dan menambah baik aspek keselamatan di kawasan tersebut.

Projek pemasangan lampu jalan solar itu dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI di bawah peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bagi meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur di kampung terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, projek itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bukit Katong, malah turut memudahkan penduduk dari Asahan yang menggunakan laluan berkenaan.

“Lampu jalan ini akan dipasang bermula dari bulatan baharu berhampiran Kampung Bukit Katong sehingga ke bulatan Bukit Langsat.

“Insya-Allah, projek ini dalam proses perolehan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Kampung Bukit Katong BHEUU Jabatan Perdana Menteri di kampung tersebut, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) BHEUU Jabatan Perdana Menteri, Nur Azlin Mohamad Awal; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Ir. Ts. Mohammad Hiriddin Hashim.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata penduduk kampung atau pengguna kini tidak perlu bimbang jika melalui jalan tersebut pada waktu malam.

“Insya-Allah selepas lampu solar di kawasan ini siap dipasang, ia akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post LITAR RC TANJUNG BIDARA BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA
Next post NUR JANNAH DINOBAT JOHAN KATEGORI AWAM PIDATO