Lebih 1.3 juta pelajar kembali ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER MOLEK 1 Nov – Lebih 1.3 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah bagi empat negeri yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan hari ini.

Empat negeri berkenaan adalah Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, secara keseluruhannya seramai 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahun 1 hingga 3.

Manakala bagi sekolah menengah, jelasnya, melibatkan 652,148 pelajar Tingkatan 3 dan 4.

“Jadi, secara keseluruhannya lebih 1.3 juta orang murid dan pelajar berada di sekolah hari ini.

“Jika kita lihat kemasukan yang berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan keadaan sekolah berjalan lancar dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika membuat lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini, hari ini.

MOHD Radzi (tiga dari kiri) bersama Yusran Shah (dua dari kanan) membuat lawatan di SK Ayer Molek di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Menurut Mohd Radzi, selain daripada membuat pemantauan di sekolah, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama semua guru termasuk guru pra-sekolah dan ibu bapa.

“Sesi libat urus ini melibatkan perkara berkaitan dengan pengoperasian dan menumpukan konsep Sekolahku Sejahtera, yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kita akan turun berbincang dengan ibu bapa bagaimana cara terbaik untik memastikan Konsepku Sejahtera dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan turut memperkenalkan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ sebagai usaha untuk menerapkan nilai penting dalam kehidupan anak-anak.

Jelasnya, konsep itu bukan satu matapelajaran sebaliknya kaedah menerapkan nilai semula jadi dalam kehidupan yang akan menjadi satu norma buat generasi baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

830
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: 70 peratus kempen PAS melalui media sosial
Next post 97.49 peratus warga pendidik lengkap vaksin – KPM
Ubah saiz-+=