97.49 peratus warga pendidik lengkap vaksin – KPM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN DAUN 1 Nov – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan sebanyak 97.49 peratus warga pendidik yang telah lengkap menerima suntikan vaksin setakat 31 Oktober (semalam).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peratusan itu menunjukkan peningkatan apabila jumlah guru yang enggan divaksin sebelum ini telahpun berkurang.

“Untuk guru setakat 31 Oktober yang terima dos pertama sebanyak 99.04 peratus dan yang lengkap vaksin adalah 97.49 peratus, manakala murid menerima dos pertama adalah 92.5 peratus dan yang lengkap vaksin sebanyak 77.4 peratus.

“Diikuti Anggota Kumpulan Pelaksanan (AKP) sebanyak 99.06 peratus yang menerima dos pertama dan dos kedua (96.3 peratus), Pekerja Perkhidmatan Sokongan (PPS) pula untuk dos pertama 92.98 peratus dan dos kedua 81.97 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan siri lawatan kerja ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka, hari ini.

Ujarnya, bagaimanapun guru-guru yang masih enggan menerima vaksin perlu segera mendapatkannya sebelum dikenakan tindakan tatatertib.

“Jumlah guru enggan vaksin 2,000 sebelum, hari ini dah semakin menurun dan ianya akan menurun lagi, jadi saya guru yang masih belum terima vaksin ambil dengan kadar segera.

“Sekarang dah 1 November dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun telah mengeluarkan surat supaya semua guru enggan vaksin ini perlu divaksin bermula hari ini.

“Melainkan mereka yang ada masalah kesihatan yang tidak membenarkan mereka untuk menerima suntikan vaksin,” katanya lagi.

Sebelum ini JPA telah mengeluarkan peraturan guru yang enggan divaksin diberi tempoh sehingga 1 November sebelum kembali mengajar ke sekolah bagi mengelakkan tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post Lebih 1.3 juta pelajar kembali ke sekolah
Next post Lawatan mengejut ke sekolah pantau SOP – Radzi
Ubah saiz-+=