Lawatan mengejut ke sekolah pantau SOP – Radzi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER MOLEK 1 Nov – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat lawatan mengejut di sekolah bagi memastikan sistem pengudaraan bilik darjah dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, JPN mahupun PPD berhak untuk mengadakan lawatan tanpa memaklumkan kepada pihak sekolah demi memastikan pematuhan tatacara ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kita minta supaya JPN dan PPN supaya sentiasa turun ke sekolah tanpa memaklumkan kepada sekolah pada bila-bila masa sahaja untuk memastikan bahawa segala garis panduan disediakan (KKM) itu dapat dipatuhi dengan baik khususnya mengoptimumkan pengudaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini, hari ini, yang dihadiri Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Tambahnya, meskipun di peringkat awal terdapat kurang kefahaman mengenai keselamatan murid terutama membabitkan pengudaraan di kawasan sekolah bagi mengekang COVID-19, namun pihak sekolah harus memainkan peranan penting bagi menjamin perkara itu.

“Di peringkat awal mungkin kurang kefahaman tentang apakah pendekatan yang boleh digunakan namun sekarang ini kita lihat guru dan pihak sekolah secara keseluruhannya mula melihat bahawa pengudaraan ini satu komponen penting.

“Mereka saling berusaha untuk memastikan pengudaraan dalam bilik-bilik yang digunakan di sekolah ini berada pada tahap yang optimum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1276
Kongsi :
Previous post 97.49 peratus warga pendidik lengkap vaksin – KPM
Next post Amiruddin sedia pertahan DUN Ayer Limau, namun serah pucuk pimpinan tentukan
Ubah saiz-+=