Amiruddin sedia pertahan DUN Ayer Limau, namun serah pucuk pimpinan tentukan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER LIMAU 1 Nov – Selepas berkhidmat tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Wira Amiruddin Yusof tetap bersedia untuk meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Namun, kata putus Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal menentukan sama ada beliau diberikan tugas mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau sebaliknya.

Amiruddin berkata, jika diberi mandat mempertahankan kerusi berkenaan, beliau akan mengetuai tugas jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi mempastikan ia terus menjadi milik BN.

Bagaimanapun, katanya, jika sebaliknya, tugas berkenaan akan diserahkan kepada calon baharu.

“Saya serahkan kepada Presiden (UMNO) dan jawatankuasa pemilihan…tugas saya sekarang selepas pembubaran DUN Melaka ialah meneruskan kerja masyarakat dan parti sehingga hari penamaan calon.

“Sekiranya saya dipilih (bertanding pada PRN Melaka), saya teruskan mengetuai kerja dan sekiranya tiada, saya serahkan kepada calon baharu,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan berpindah ke kerusi lain kerana ia adalah PRN dan bukannya Pilihan Raya Umum (PRU).

“Tidak mungkin kerana ini adalah PRN,” katanya ringkas.

Untuk rekod, Amiruddin pertama kali dicalonkan mewakili UMNO/BN di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 bagi menggantikan bekas ADUN, Datuk Ideris Kassim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post Lawatan mengejut ke sekolah pantau SOP – Radzi
Next post SPR belum mohon jadikan sekolah pusat mengundi PRN Melaka – Radzi
Ubah saiz-+=