Lebih 1,500 belia serbu Karnival Kerjaya Anak Muda DUN Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER LIMAU 3 Julai – Lebih 1,500 belia menyerbu Karnival Kerjaya Anak Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Dewan Tan Sri Abu Seman, di sini hari ini.

Program selama lapan jam bermula jam 8 pagi itu dirasmikan EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama
Sulaiman Md Ali.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ketika ditemui pada karnival berkenaan, Hameed berkata, selain menyediakan peluang pekerjaaan kepada belia, terutama dalam DUN Ayer Limau, program itu juga bertujuan membuka jalan untuk lepasan SPM yang tidak mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM lalu.

“Kita tidak mahu anak muda yang tidak berjaya dalam akademik terbiar tanpa dipandu untuk membina kerjaya dalam pelbagai syarikat swasta.

“Kita sedaya upaya membantu lepasan SPM untuk mendapatkan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ada di Masjid Tanah atau tempat
lain,” katanya.

Beliau berkata, belia yang hadir bukan setakat menjalani sesi temuduga di pelbagai syarikat swasta, termasuk kilang pemasangan kereta Honda di Pegoh, Alor Gajah, malah terus menerima surat tawaran bekerja.

Begitu juga belia yang mencuba mendapatkan tempat di IPTA/S dan kolej yang menyediakan bidang TVET di sekitar Masjid Tanah, katanya.

Katanya, kebanyakan belia yang ditemuinya pada program itu mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menyediakan peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

“Insya-Allah program ini akan diadakan dari semasa ke semasa kerana jumlah belia di DUN Ayer Limau khususnya dan Parlimen Masjid Tanah amnya memang ramai.

“Saya amat berharap mereka merebut peluang keemasan seumpama ini kerana usia muda mereka tidak seharusnya dibazirkan tanpa melakukan perkara bermanfaat sama ada dengan bekerja atau menuntut
ilmu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Laluan disangka gelap kembali cerah
Next post Nissan Skyline R32 menyerupai kenderaan polis dirampas
Ubah saiz-+=