Sorting by

×

Laluan disangka gelap kembali cerah

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER LIMAU 3 Julai – Mohamad Syukuri Mohd Nasrun, 18, sebelum ini menjangka laluan untuknya menempuh cabaran hidup masa depan gelap namun sangkaannya ternyata meleset.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyangka peluangnya untuk menyambung pengajian sukar berikutan keputusan peperiksaan tidak membanggakan tetapi hari ini laluannya kembali cerah selepas menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Mohamad Syukuri yang memperoleh 1A dalam keputusan SPM lalu amat ceria apabila ditawarkan pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah, di Paya Lebar, dekat sini.

Kunjungannya ke Karnival Kerjaya Anak Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di Dewan Tan Sri Abu Seman, di sini ternyata membawa tuah kepadanya apabila ditawarkan mengikuti pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Seramik di KKTM.

“Alhamdulillah, hari ini saya hadir di karnival ini dan tidak menyangka sama sekali diberikan tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang TVET di KKTM.

“Saya amat meminati kemahiran pembuatan dan pemprosesan seramik dan peluang ini tidak akan saya lepaskan begitu saja,” katanya ketika ditemui pada karnival berkenaan.

Mohamad Syukuri Mohd Nasrun, 18. Foto Din Ahmad

Turut berkongsi kegembiraannya ialah EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika meninjau khemah pameran KKTM dalam sesi lawatan ke pelbagai ruang pameran pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) serta syarikat swsata yang menyertai karnival itu.

Ab Rauf mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan program berkenaan. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Sementara itu, Hameed berkata, karnival berkenaan disertai lima syarikat swasta yang menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan, selain tujuh IPTA/S yang menawarkan peluang kepada belia melanjutkan pengajian dalam bidang akademik dan TVET.

“Setakat tengah hari ini, lebih 300 anak muda hadir untuk mengikuti temuduga dan mereka yang berjaya, terus diberikan surat tawaran bekerja.

“Tidak kurang juga belia yang hadir untuk meninjau peluang melanjutkan pengajian,” katanya.

Shabudin Said. Foto DIn Ahmad

Pengarah KKTM Masjid Tanah, Shabudin Said berkata, Mohd Syukuri diminta melaporkan diri pada 27 Julai ini dan bakal mengikuti pengajian enam semester selama 36 bulan.

“Sepanjang pengajian, Mohamad Syukuri dan penuntut lain diberikan elaun bulanan RM300 dan asrama secara percuma.

“Apabila dia mengikuti praktikal atau latihan industri pada semester akhir, dia berpeluang menerima elaun antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1389
Kongsi :
Previous post Tiada hujung bagi mereka tidak cemerlang akademik – Ab Rauf
Next post Lebih 1,500 belia serbu Karnival Kerjaya Anak Muda DUN Ayer Limau
Ubah saiz-+=