Tiada hujung bagi mereka tidak cemerlang akademik – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 3 Julai – Tiada jalan penghujung yang mendukacitakan bagi belia yang tidak cemerlang dalam akademik, sebaliknya peluang untuk mereka terbuka luas dalam bidang kemahiran.

EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, anak muda lepasan SPM atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal mencapai kecemerlangan, tidak harus berputus asa untuk mencari laluan yang meyakinkan bagi menempuh alam pekerjaan.

“Kerajaan menyediakan pelbagai institusi yang menyediakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti kolej komuniti, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).

“Itu tidak termasuk institusi swasta yang turut menyediakan pengajian seumpama itu dan inilah bukti kerajaan kita sentiasa berusaha menyediakan peluang untuk belia kita menimba ilmu kemahiran,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Kerjaya Anak Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Dewan Tan Sri Abu Seman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf meninjau belia mengisi borang syarikat Honda yang menyertai Karnival Kerjaya Anak Muda DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri Abu Seman, Masjid Tanah hari ini. Foto Din Ahmad

 

Ab Rauf yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peluang pendidikan seumpama itu menyediakan ruang untuk pelabur swasta memilih Melaka sebagai lokasi pelaburan sektor perkilangan.

“Ada satu pelabur dari luar negara, apabila saya bertanya mengapa memilih Melaka, dia memberikan jawapan syarikat itu sudah meneliti pelbagai institusi dan kolej menyediakan TVET untuk belia di negeri ini.

“Mereka mahu pekerja yang mahir dalam pelbagai bidang kemahiran dan tinggal tidak jauh dari kilang,” katanya.

Beliau yang mengambil contoh kilang pemasangan kereta Honda di Pegoh, Alor Gajah, berkata ada 3,600 pekerja di kilang berkenaan dan 1,800 daripada mereka tinggal di Masjid Tanah.

Kilang pembuatan produk semi konduktor Infineon di Batu Berendam pula menggaji 11,000 pekerja dengan hanya 437 adalah pekerja asing.

“Hari ini kilang itu berjaya mengeluarkan 25 peratus daripada produk semi konduktor yang dibekalkan kepada pelbagai syarikat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kebijaksanaan rakyat Melaka memilih kerajaan yang berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November lalu dibalas dengan kerajaan memulangkan semula hasil negeri kepada mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post Minyak peket cukup, kerajaan siasat ketirisan berlaku
Next post Laluan disangka gelap kembali cerah
Ubah saiz-+=