Sorting by

×

LEGENDA ROTI KOK 90 TAHUN, RENTAS EMPAT GENERASI

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MACHAP JAYA 25 Mei – Setiap gigitan rangup mampu menghidupkan kembali kehangatan nostalgia zaman dahulu. Aroma yang dibakar sempurna dapat dihidu penduduk setempat yang membesar di sekitar Kampung Machap Baru.

Apabila dipadankan dengan secawan kopi panas, ia menjadi hidangan ringkas yang cukup bermakna buat semua.

Itulah roti kok yang bukan sahaja mengenyangkan, malah menjadi simbol warisan turun-temurun bagi keluarga yang mengusahakan Perusahaan Kenn Guan Hiong (Kilang Roti).

Perusahaan yang diasaskan sejak tahun 1935 kekal sehingga kini, merentasi empat generasi. Setelah lebih 90 tahun beroperasi, roti kok ini masih menjadi kegemaran ramai, khususnya dalam kalangan penduduk setempat.

Selepas pengasasnya, Puah Sen Fong, meninggal dunia pada tahun 1970, perniagaan tersebut diambil alih oleh generasi kedua, Puah Chian Po sebelum diserahkan kepada generasi ketiga, Puah Kia Men pada tahun 2000.

Pengusaha generasi ketiga, Puah Kia Men, 73, berkata, dia mula membantu bapanya sejak tahun 1972 dan kini menyerahkan perniagaan tersebut kepada anaknya, Puah Chai Fei untuk meneruskan legasi keluarga.

“Dari dahulu lagi, saya memang mengikuti ayah dalam pembuatan roti. Sejak tahun 1972, saya sudah mula membantu ayah dalam kerja-kerja ini dan meneruskannya sehingga sekarang.

“Kami menghasilkan dua jenis roti kok iaitu manis yang bersalut gula dan tawar bagi mengekalkan resipi tradisional.

“Pengeluaran bergantung pada jumlah tepung yang digunakan. Biasanya dalam sehari kami menggunakan kira-kira 25 kilogram tepung untuk menghasilkan 500 paket roti kok,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Baru 2
KILANG roti yang sudah bertapak selama 90 tahun di Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Kia Men, proses penghasilan roti kok pada masa dahulu dilakukan menggunakan ketuhar tradisional dan sepenuhnya buat tangan.

Namun, dari semasa ke semasa, kaedah tersebut telah ditambah baik kepada proses separa mekanikal bagi meningkatkan pengeluaran.

Tambahnya, produk tersebut kini dipasarkan sekitar Melaka serta ke luar negeri seperti Negeri Sembilan dan Johor.

Bagaimanapun, dia mengakui perniagaan itu kini berdepan cabaran berikutan peningkatan persaingan serta perubahan cita rasa dalam kalangan generasi muda.

Namun begitu, usaha untuk meneruskan kelangsungan perniagaan itu tetap diteruskan demi memastikan warisan keluarga ini terus kekal dan tidak lapuk ditelan zaman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post ‘KING OYEN’ SERONOK BONCENG BASIKAL