Sorting by

×

‘KING OYEN’ SERONOK BONCENG BASIKAL

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 24 Mei – Gelagatnya yang tenang dan bersahaja membonceng basikal menjadikan seekor kucing berwarna oren atau lebih mesra dipanggil ‘oyen’ mencuri tumpuan ramai di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini.

Si bulus yang dinamakan ‘King Oyen’ itu turut menambat hati ramai termasuk pelancong dek kecomelannya memakai pakaian khas yang dilengkapi cermin mata hitam dan rambut afro.

Pemiliknya, Sofea Salleh, 53, berkata, kucing dari baka American Shorthair itu mula menunjukkan minat membonceng basikal ketika era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Wanita berasal dari Kuala Lumpur itu memaklumkan, dia mula melatih si comel itu membonceng basikal secara berperingkat bermula dari kawasan rumah, hinggalah taman rekreasi dan kini ia boleh mengikuti kayuhan sejauh 65 kilometer.

“Untuk melatih King Oyen saya menggunakan lima kaedah iaitu ‘bonding’, ‘chemistry’, ‘trust’ ‘communication’ dan ‘psychology’. Pada awalnya memang agak sukar kerana sudah menjadi fitrah kucing akan memanjat dan tidak duduk diam.

“Sampai satu tahap saya menangis dan bila King Oyen melihat ‘ibunya’ menangis, ia mula menunjukkan ‘soft spot’ dan semakin baik dari hari ke hari,” katanya yang mesra disapa ‘Mommy Oyen’ kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program My Brompton Malaysia Fans Day 2026.

IMG
KING Oyen kelihatan tenang bersam menyertai acara kayuhan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir. Foto Afiq Mustaffa

Menurutnya, selain membonceng basikal, King Oyen juga turut menunjukkan minat dalam beberapa aktiviti lain, antaranya berkayak, menaiki bot naga dan menunggang kuda.

Malah, ujarnya, kucing yang berusia enam tahun itu juga pandai berenang dan tidak takut air selepas dilatih suaminya Mohd Salleh Zakaria, 54, yang juga seorang jurulatih renang.

Tambah Sofea, walaupun kelihatan tenang ketika berada di luar, namun sikap sebenar King Oyen di rumah sangat berbeza.

“Di luar King Oyen sangat baik dan dengar kata, tapi di belakang tabir ia adalah Oyen yang sebenar kerana sangat nakal dan menjadi kucing yang alpha serta dominan, sebab itu kami panggilnya ‘King’.

“Walaupun begitu, saya dan suami bersyukur kerana dapat memiliki seekor kucing yang unik kerana boleh mendengar kata dan sangat manja dengan penjaganya,” katanya yang kini memelihara lapan ekor kucing di rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post ‘CRUISE’ PUAS-PUAS DI MELAKA, PELBAGAI PROMOSI MENARIK MENANTI ANDA