Lima lagi pemain dipanggil ke kem latihan skuad B-23 negara

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 1 Feb – Lima pemain baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Feb ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan tiga daripadanya merupakan pemain dalam senarai simpanan iaitu Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal dari Johor Darul Ta’zim (JDT) III, dan K. Thivandaran dari Penang FC.

Dua lagi pemain yang turut tersenarai ke kem latihan itu adalah A.Selvan dan N.Javabilaarivin dari Negeri Sembilan FC.

Menurut FAM, Muhammad Firdaus, Muhammad Najmudin dan Thivadaran telah memulakan latihan bersama skuad B-23 kebangsaan pada 27 dan 28 Jan lepas, manakala Selvan serta Javabilaarivin menyertai pasukan bermula hari ini.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Feb dan akan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Feb, sebelum berdepan dengan Laos pada 18 Feb di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Feb.

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Feb.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1216
Kongsi :
Previous post Insiden bot pelancong berlanggar bawa muatan berlebihan – Jabatan Laut
Next post Pelanggaran bot pelancong: Tujuh individu kini dirawat di HSNZ
Ubah saiz-+=