Insiden bot pelancong berlanggar bawa muatan berlebihan – Jabatan Laut

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA TERENGGANU 1 Feb – Bot pelancong yang berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam membawa penumpang melebihi muatan dibenarkan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia (JLM), bot pelancong berkenaan membawa 29 penumpang berbanding 12 dibenarkan.

Katanya, siasatan awal mendapati bot berkenaan yang membawa muatan terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru dalam perjalanan dari Pulau Perhentian ke jeti Kuala Besut.

“Bot berkenaan telah berlanggar dengan bot nelayan tempatan yang ingin keluar dari muarah Sungai Besut.

“Siasatan secara lisan turut mendapati penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata akibat pelanggaran itu, semua penumpang termasuk kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air sebelum diselamatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta orang awam.

“Susulan kemalangan itu, seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk rawatan susulan manakala 11 lagi iaitu dua kritikal, lapan lagi separa kritikal dan seorang cedera ringan dirujuk ke Hospital Besut untuk menerima rawatan,” katanya.

JLM turut memaklumkan susulan kejadian itu, satu pasukan siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Katanya, siasatan awal mendapati penumpang dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, bukan dibawah seliaan JLM, oleh itu, tiada kawalan daripada JLM.

“Siasatan lanjut turut mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun 2021.

“Pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran bagi mengelirukan pihak Pejabat Laut Kuala Besut.

“Antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang adalah seperti di tepi pesisir pantai Tebing Pagar, Bukit Kluang, Pulau Rhu dan Sungai Kampung Raja,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Jeti Penumpang JLM masih ditutup susulan fasa Monsum Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 Nov dan dijangka berterusan sehingga Mac selain angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam operasi bot di laut.

“Orang ramai yang ingin ke pulau-pulau peranginan dinasihati agar untuk menggunakan jeti yang sah sahaja iaitu di Jeti Penumpang JLM dan memakai jaket keselamatan.

“Pengusaha bot juga diingatkan tidak membawa lebih muatan atau penumpang serta memastikan lesen bot dan lesen nakhoda masih sah laku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Jangan ambil mudah PRN Johor – Mohamad
Next post Lima lagi pemain dipanggil ke kem latihan skuad B-23 negara
Ubah saiz-+=