
LIMA PASANGAN MUALAF MELAKA SELAMAT DIIJABKABULKAN
KESIDANG 12 Julai – Seramai lima pasangan dalam kalangan ‘saudara baharu’ selamat diijabkabulkan pada Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2025.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, majlis anjuran Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan pasangan mualaf yang akan melayari bahtera perkahwinan dengan ajaran dan didikan agama Islam.
Katanya, majlis itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh keimanan dan kefahaman mereka dalam ajaran Islam, bahkan bermatlamat untuk saling belajar dan memahami antara satu sama lain bagi memupuk keharmonian dalam bermasyarakat.
“Kesemua pasangan pengantin wanita pada program ini merupakan mualaf terdiri daripada yang baru setahun sehingga 10 tahun sudah memeluk agama Islam.
“Selain meraikan mempelai dalam satu majlis gilang gemilang ini, kesemua mereka juga akan mengikuti kursus pasca perkahwinan untuk lebih mendalami ilmu rumah tangga bersesuaian syariat agama.
“Proses pembelajaran terus berlangsung buat saudara baharu dan MAIM menaja kesemua pengantin termasuklah memberi hadiah perkahwinan berupa wang tunai dan barangan elektrik rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2025 di Laman Kaca, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis; Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rosli memaklumkan, sepanjang tahun lalu, MAIM membelanjakan RM150,000 bagi program sama melibatkan seramai 15 pasangan.
“Pada tahun lalu kita laksanakan tiga siri yang mana setiap siri sebanyak lima pengantin diraikan.
“Pada tahun ini juga kita akan laksanakan tiga siri dan jumlah bakal pengantin masih belum ditetapkan,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.