
LITAR RC TANJUNG BIDARA BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA
TANJUNG BIDARA 13 September – Litar Kereta Kawalan Jauh (RC) Tanjung Bidara yang telah siap sepenuhnya bakal menjadi lokasi penganjuran acara sukan yang mengumpulkan peminatnya dari seluruh dunia.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, litar yang dibangunkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu menelan kos berjumlah kira-kira RM500,000 akan dilancarkan secara rasmi pada penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025, esok.
Ujar beliau, litar tersebut dibina mengikut spesifikasi antarabangsa dan ia bakal dijadikan lokasi kejohanan RC peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa kelak.
“Untuk permulaan, kejohanan sulung kereta kawalan jauh ini akan diadakan bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 membabitkan peserta dari dalam dan luar negara.
“Dari situ kita akan dapatkan maklum balas peserta sekiranya perlu melakukan penambahbaikan dan selepas itu kita akan minta penganjur untuk menganjurkan kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak pembangunan Litar RC Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka Datuk Noraini Tawel; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, litar RC tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dibina di Negeri Melaka dan ia diyakini dapat memberi nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong ke Pantai Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.