Sorting by

×

Longkang Limbongan penuh sampah diselenggara seminggu sekali – SWCorp

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KESIDANG 9 Februari – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri melaksanakan pembersihan di lokasi perangkap sampah di longkang Limbongan seminggu sekali.

Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib berkata sepatutnya frekuensi selenggara standard di lokasi terbabit adalah sebulan sekali.

Katanya, pada tahun lalu, beliau telah memohon ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan permohonan kekerapan membersihkan sampah yang terlonggok di longkang terbabit kepada empat kali sebulan.

“Kekerapan bagi pihak kita sepatutnya sebulan sekali sahaja, namun disebabkan tren sampah yang terlonggok dalam tempoh dua ke empat hari seminggu telah ‘menyakitkan mata’ dan menganggu kacau penduduk dan peniaga di situ, jadi kita mohon untuk kerap lakukan pembersihan di peringkat Federal.

“Ikutkan, pihak kita kerap melaksanakan pelbagai kempen dan program untuk membuka mata masyarakat mengenai isu buang sampah ke dalam longkang.

“Dan di kampung-kampung berhampiran sekitar Limbongan itu juga, kami sering membuat ‘engagement’ dengan penduduk untuk tidak sewenang-wenangnya membuang sampah di longkang terbabit kerana sampah yang dibuang dibawa aliran longkang itu dan terkumpul di kawasan perangkap sampah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Khairul Adha berkata semalam melalui satu mesyuarat, pihaknya akan melaksanakan satu pilot projek untuk ‘transform’ longkang itu menjadi longkang yang bersih.

Jelasnya, perkara itu akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan dan kebenaran dalam tempoh terdekat.

“Semalam kebetulan, memang kita adakan mesyuarat untuk melaksanakan ujikaji atau pilot projek bagi mengubah longkang tersebut kepada longkang yang bersih, apa ujikajinya nanti kita akan maklum, sementara ini masih menunggu kelulusan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau telah memaklumkan kepada pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenai pengalihan perangkap sampah, namun perkara itu masih di peringkat cadangan.

“Dari segi pemerhatian saya, longkang ini teralir, ia bukanlah sampah dari penduduk sahaja, malahan sampah-sampah yang ditiup angin juga akan menyusur ke longkang.

“Kita ada mencadangkan kepada MBMB untuk mengalihkan perangkap sampah untuk dipasang jauh dari lokasi penduduk dan penjaja, berhampiran pantai, namun hal itu masih di peringkat cadangan dan perbincangan.

“Perkara sampah ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak terutama penduduk dan orang awam untuk sama-sama menjaga alam sekitar dan jangan membuang sampah merata-rata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4772
Kongsi :
Previous post Perangkap sampah punca sampah berlonggok, berbau
Next post 37 lokasi aktif tapak sampah haram akan ditutup pada Mac – SWCorp
Ubah saiz-+=