Perangkap sampah punca sampah berlonggok, berbau

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

KESIDANG 9 Februari – Sikap segelintir penduduk gemar membuang sampah ke dalam longkang berhampiran menyebabkan pencemaran bau dan alam sekitar berlaku di sebuah longkang di Limbongan.

Kelmarin, sebuah agensi berita melaporkan sebuah longkang di Limbongan di sini, dipenuhi pelbagai jenis sampah sarap sehingga menyebabkan bau busuk sekaligus boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes jika tidak diambil tindakan.

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi terbabit mendapati, longkang tersebut sudah dibersihakan dan mempunyai papan tanda amaran ‘Dilarang Membuang Sampah’ oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri.

Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati meskipun sudah dibersihkan namun masih terdapat sampah yang dialirkan oleh air longkang hingga ke kawasan perangkap sampah.

Lokasi longkang terbabit sangat hampir dengan dua kedai makan yang kerap dikunjungi pelancong dalam dan luar negeri.

photo_2023-02-09_16-12-13
Pengusaha gerai makanan, Muzapor Kamal 66, (kiri) menunjukkan longgokan sampah yang menyebabkan pencemaran bau di sebuah longkang di Limbongan, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut seorang pengusaha gerai makanan, Muzapor Kamal 66, berkata isu sampah terperangkap di longkang terbabit bukanlah hal yang baharu.

Jelasnya, sejak tiga tahun dia berniaga air durian belanda di situ, sampah-sampah terbabit adalah sampah yang dibawa atau dialirkan tidak tahu dari mana dan terperangkap di longkang di situ.

Katanya, hal itu kerana, pihak berwajib memasang perangkap sampah di longkang terbabit supaya tidak mengalir ke laut berhampiran.

“Isu sampah yang terperangkap di sini memang kerap kali berlaku, lagi teruk apabila air pasang, sampah yang banyak akan naik dan baunya ‘mencucuk’ hidung.

“Kami peniaga di sini memang terganggu dengan isu sampah ini, dan pengunjung turut merasakan perkara yang sama, jadi adalah lebih baik jika pihak berwajib dapat mengalihkan perangkap sampah ini.

“Hal ini kerana lebih teruk lagi, apabila tiba musim perayaan atau cuti sekolah, makin banyak sampah di situ dan berdasarkan pengalaman saya, bukan setakat botol, pampers dan polisterin sahaja yang dibuang, malah peti ais dan almari turut dibuang ke dalam longkang oleh penduduk berhampiran,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.

Nada sama disuarakan oleh seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sampah-sampah yang dibuang adalah sampah dari penduduk kampung berhampiran.

Jelasnya, hal itu kerana tiada tong sampah yang diletakkan di rumah penduduk kampung dan disebabkan jalan yang kecil, lori sampah tidak dapat masuk melalui jalan kampung.

“Kebiasaan, mereka ini suka buang sampah dalam longkang, pada waktu malam.

“Dan ada penduduk yang malas untuk buang smpah ke ‘bekas roro’ yang disediakan di tepi jalan besar, mereka memilih untuk membuang sampah di longkang.

“Sebab itu kalau dilihat dari jenis-jenis sampah, adalah sampah dari rumah, seperti pampers, botol minuman, botol spray nyamuk dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagaimanapun, rata-rata peniaga dan penduduk meminta untuk pihak berkuasa mengalihkan perangkap sampah terbabit dan diletakkan berhampiran laut bagi memudahkan pihak berkuasa mengutip sampah-sampah yang terperangkap di situ.

Mereka juga meminta pihak berwajib untuk tegas mengenakan tindakan kepada penduduk yang didapati terus-terusan menjadikan longkang tersebut sebagai ‘tong sampah’ dan sentiasa memantau kebersihan longkang-longkang di lokasi tumpuan pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2189
Kongsi :
Previous post UMNO telah kemuka maklumat diperlukan RoS – Ahmad Zahid
Next post Longkang Limbongan penuh sampah diselenggara seminggu sekali – SWCorp
Ubah saiz-+=