Luluh hati lihat rumah dibadai ribut

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Ogos – “Sedih memang sedih apabila lihat keadaan rumah, hanya mampu menangis terkenangkan tempat tinggal sudah tiada.

“Saya sangkakan rumah tidak terjejas tetapi lain jadinya, hampir kesemua terjejas,” kata mangsa ribut di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Rokiah Bakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi tadi, sebanyak 58 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara terjejas akibat ribut.

Penduduk, Fatimah Abd Rahman, 70 menunjukkan keadaan rumahnya di Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara yang terjejas susulan kejadian ribut yang melanda. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Rokiah, 60, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja dan hanya mengetahui kediamannya dilanda ribut selepas dimaklumkan jiran.

“Ketika sedang mengemas di masjid saya ada terdengar bunyi angin tetapi tidak sangka perkara buruk menimpa sehinggalah diberitahu.

“Ketika itu anak saudara ada juga maklumkan rumah dia rosak terkena ribut tetapi apabila tiba di rumah sendiri luluh hati tengok keadaan rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Penduduk, Rokiah Bakar, 60. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, sepanjang lebih 10 tahun menetap di situ, kejadian ribut adalah kali kedua berlaku namun kejadian hari ini adalah yang paling teruk sehingga rumahnya tidak dapat dihuni.

Bagi seorang lagi mangsa, Fatimah Abd Rahman, 70, berkata, ketika kejadian dia baru selesai mandi dan terkejut apabila melihat ruangan dalam rumahnya terang benderang.

“Sebaik keluar dari bilik air, saya terkejut apabila terang dan tiada lagi atap yang kelihatan hanya langit. Saya kehairan kenapa tiba-tiba rumah roboh sedangkan tiada angin mahupun ribut.

“Tidak berapa lama selepas itu cuaca mulai hujan dan saya hanya mampu menangis. Ingatkan selepas mandi hendak memasak tetapi lain jadinya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2193
Kongsi :
Previous post Raja Gunung Melaka mahu tawan Everest kali keempat
Next post Kampung Ramuan Cina Besar banjir lagi
Ubah saiz-+=