M-WEZ ‘game changer’ untuk Melaka
KUALA LUMPUR 21 Jan – Melaka memerlukan sebuah koridor ekonomi sendiri yang bakal menjadi ‘game changer’ kepada landskap ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan tambak laut seluas lebih 6,000 hektar itu bakal menjadi sebuah tapak perdagangan berkonsep baharu dengan penambahan elemen pembangunan lestari dan mampan untuk kemajuan negeri.
Katanya, dengan koridor ekonomi itu juga, ia dapat mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap sektor pelancongan yang sebelum ini terkena tempias akibat pandemik COVID-19.
“Sebelum ini Melaka hanya dijadikan lokasi pelancongan hujung minggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Adakah kita hanya boleh bergantung dengan ini selama-lamanya.?
“Maka, sebab itulah kita wujudkan M-WEZ sebagai satu ‘game changer’ yang akan menjadikan Melaka bukan sekadar negeri pelancongan, bahkan menjadi sebuah pusat perniagaan yang akan dikunjungi setiap hari.
“Kita mahu Melaka menjadi seperti Singapura dan Pulau Pinang yang mana walaupun bentuk geografinya kecil, sama seperti Melaka, namun sumber ekonomi serta kemajuannya berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka dan Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Bersama Kerajaan Melaka, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kewujudan M-WEZ juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat pada masa akan datang.
“Di Melaka sahaja ada lebih 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang bakal melahirkan lebih ramai para graduan selepas ini.
“Jadi, anak-anak ini selepas tamat pengajian, bagaimana jika tiada lagi peluang pekerjaan.?
“Sebab itulah pentingnya koridor ekonomi baharu ini dalam memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan dapat diwujudkan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, 2022 juga bakal menjadi tahun pelaksanaan bagi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan tahun lalu.
Jelasnya, memandangkan pelan tersebut mengambil masa selama 15 tahun, maka segala perancangan haruslah dilaksanakan bermula dari sekarang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.