Mahasiswa digalak ceburi bidang keusahawanan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Nov. – Mahasiswa universiti awam Malaysia digalak menceburi bidang keusahawanan bagi meningkatkan keberhasilan produk negara menembusi pasaran dunia.

Pengarah Pejabat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawan (CREATE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Dr. Mohd Amin Mohamad berkata, secara tidak langsung ia memberi peluang kepada pelajar mendalami ilmu keusahawanan.

“Sehubungan itu, UTeM telah mengadakan Program MUDApreneur@HE untuk memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi dan merancang strategi selaras dengan kehendak pasaran.

“Di samping memperoleh idea serta sumber inspirasi bagi mengembangkan perniagaan mereka pada masa yang akan datang,” katanya pada program tersebut, baru-baru ini.

Katanya, program itu mendapat 28 penyertaan di peringkat akhir menerusi pelbagai kriteria produk.

“Penilaian produk dinilai barisan juri dari sembilan syarikat iaitu Venture Capitalist yang berbeza mengikut kluster iaitu kluster perkhidmatan dan produk, kluster teknologi dan maklumat (ICT) dan kluster kejuruteraan dan teknologi .

“Ia terdiri daripada Cyberview Living Lab Accelerator, Cradle Fund Sdn. Bhd., Ata Plus Sdn. Bhd., Klezcar Travel & Tours Sdn. Bhd., SME Corp. Malaysia Cawangan Melaka, PitchIN Campus, MAD Incubator or E3Hubs, JNJ Group dan Amanz Media Sdn. Bhd.,” katanya lagi.

Pemenang utama bagi kluster perkhidmatan dan produk ialah Puff Lab UNIMAS, kluster ICT dimenangi Ras Hashtaq Enterprise dari UTeM diikuti kluster kejuruteraan dan teknologi turut dimenangi UTeM menerusi Apai Mobile Repair Centre.

Program ini melibatkan lima universiti awam lain iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Views:

935
Kongsi :
Previous post APM Melaka terima aset baharu hadapi banjir
Next post Lokasi Empangan Jerneh dalam Melaka
Ubah saiz-+=