MAIM BUKA 5 KAUNTER AGIHAN ZAKAT WAKTU REHAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 November – Bagi memastikan kelancaran operasi pada waktu rehat Pejabat Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membuka lima kaunter bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, khususnya golongan asnaf.

Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, selain golongan asnaf dan sukarelawan MAIM, Pejabat Agihan Zakat juga didatangi orang awam yang memerlukan bantuan am dan kecemasan.

Katanya, meskipun arahan pengoperasian kaunter perkhidmatan pada waktu rehat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bermula pada 1 Oktober namun pihaknya mengambil inisiatif memulakan seminggu lebih awal.

“Sejak mula beroperasi pada 24 September kita dapat lihat, pada waktu rehat memang ramai yang datang sama ada asnaf mahupun sukarelawan MAIM yang ingin mengambil bayaran sumbangan.

“Malah dalam tempoh satu jam pada waktu rehat itu digunakan juga oleh individu memerlukan untuk datang ke kaunter bagi memohon bantuan kecemasan.

“Secara purata kita lihat pada waktu rehat antara 15 hingga 20 orang akan datang untuk berurusan di kaunter dan angka itu akan bertambah pada hujung bulan justeru itu kita membuka lima kaunter ini bagi melancar dan mempercepatkan urusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni pemohon bantuan bersama Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis, di Pejabat Agihan Zakat Bukit Palah, di sini, hari ini.

Menurut Md Rawi, MAIM dari semasa ke semasa sentiasa menambah baik perkhidmatan bagi memberikan yang terbaik meskipun ada masanya terpalit dengan tohmahan tidak berasas.

“Aduan memang tidak lekang kerana ada juga mereka yang tidak berpuas hati apabila bantuan diminta tidak diluluskan oleh pegawai bertugas atas faktor- faktor tertentu.

“Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab pegawai bertugas meluluskan permohonan namun ia akan sukar dipertimbangkan apabila berdepan dengan bantuan bayaran tunggakan bil elektrik contohnya. Ada permohonan bantuan untuk bayaran tunggakan bil elektrik sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Apabila hal ini berlaku akan terjadilah rasa tidak puas hati, namun untuk tidak mengeruhkan keadaan di pihak kami pegawai bertugas sentiasa berlapang dada dan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan lebih berdedikasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post PORT ‘GLAMPING’ BAHARU DI PUNCAK LAKSAMANA
Next post FESTIVAL MELAKA 2024 ‘LUBUK’ USAHAWAN BERJAYA
Ubah saiz-+=