MAIM peruntukan geran RM1.05 juta kepada KAQSA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 8 Mac- Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukan geran tahunan sejumlah RM1.05 juta kepada Kolej Al-Quran Sayyidina Ali pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata peruntukan tersebut bagi menampung kos operasi kolej tersebut.

Beliau yang juga Penasihat KAQSA berkata melalui 10 tahun penubuhan kolej itu, KAQSA telah melahirkan seramai 235 mahasiswa yang juga alumni kolej itu.

“10 tahun lalu penubuhan kolej ini ditubuhkan dan beroperasi di Masjid Sayyidina Ali dengan nama lamanya Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Sayyidina Ali bermula dengan belasan pelajar sahaja.

“Sehingga kini telah mencecah sehingga 80 mahasiswa selepas pembinaan bangunan baharu pada tahun 2019 dan dapat menampung sehingga 90 pelajar dalam satu masa.

“Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) juga membantu memelihara kebajikan bakal huffaz ini dengan menyalurkan dermasiswa kepada pelajar yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-10 Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KAQSA merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat dan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

photo_2023-03-08_18-24-38
Ikrar graduasi KAQSA pada Majlis Konvokesyen Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) Kali Ke-10 yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam turut hadir merasmikan konvokesyen terbabit.

Mengulas lanjut, Md Rawi berkata kolej tersebut merupakan satu-satunya kolej di kelola oleh Kerajaan Negeri menerusi MAIM.

“Di KAQSA ini menawarkan dua program diploma utama, iaitu Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al Qiraat serta Diploma Tahfiz Al-Quran dan Pengurusan Halal.

“Kebanyakan alumni dari KAQSA ini ada yang telah berjaya menyambung pelajaran ke Mesir dan ke peringkat lebih tinggi dalam bidang agama khususnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2246
Kongsi :
Previous post Peniaga makanan diingatkan jaga kebersihan premis – MPJ
Next post Permohonan permit umrah Ramadan 1444H kini dibuka
Ubah saiz-+=