MAIM sumbang RM10,000 baik pulih surau Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TABOH NANING 31 Januari – Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam (MAIM) telah menyalurkan sumbangan RM10,0000 bagi kos baik pulih surau Al Ikhwan, Kampung Bukit Payung dalam Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata sumbangan itu bagi menambahkan keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di kampung tersebut menunaikan ibadah.

Jelasnya, surau terbabit turut digunakan sebagai platform pelbagai aktiviti kerohanian dan pembelajaran agama Islam seperti Kelas Fardhu Ain.

“Saya dimaklumkan aktiviti keagamaan giat dijalankan di sini (Surau Al Ikhwan), bagi membantu masyarakat Orang Asli Islam untuk terus mendalami ajaran Islam.

“Jadi sumbangan RM10,000 yang diberikan adalah untuk baik pulih surau ini bagi menambahkan keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di sini ketika program dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli Bukit Payung, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Timbalan Mufti Negeri Hazarudin Baharudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Pada program tersebut, Sulaiman turut menyampaikan sumbangan berupa kit makanan MAIM kepada 147 keluarga Orang Asli di kampung terbabit.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata Kerajaan Negeri menerusi MAIM, JAIM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa berganding bahu melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan aktiviti kerohanian dalam kalangan penduduk beragama Islam di kampung terbabit

“Untuk makluman MAIM telah perkenalkan 23 Skim Bantuan MAIM Tahun 2023 bagi membantu golongan-golongan asnaf, fakir, mualaf dan miskin. Antara bantuan yang diberikan adalah Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Tunai Bulanan Mualaf Baharu, Bantuan Saraan Anak Sekolah, Bantuan Saraan Anak IPT, Elaun Sagu Hati Kehadiran Kelas Fardhu Ain dan pelbagai lagi.

“Kerajaan Negeri melalui MAIM dan JAIM sentiasa cakna dan prihatin terhadap keperluan-keperluan golongan yang memerlukan agar golongan ini mendapat bantuan yang sewajarnya dengan kadar segera bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup mereka terus terbela dan terjaga.

“Sesungguhnya apa yang dilakukan ini adalah antara usaha untuk membantu masyarakat Orang Asli di Negeri Melaka ini agar mereka bersama mendapat pembelaan yang sewajarnya dan agar mereka tidak merasa tersisih serta ketinggalan dalam arus pembangunan yang pesat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1545
Kongsi :
Previous post Bukit Serindit jadi medan pelapis hoki berentap
Next post Pelancong terkejut Melaka sejuk
Ubah saiz-+=