Makan di kedai dibenarkan, terhad dua orang

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Bermula esok, pelanggan dibenarkan makan di restoran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan pelanggan makan di restoran, namun terhad kepada dua orang untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Beliau berkata, pada masa sama pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan dan sebarang perubahan akan diumumkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP).

“Kerajaan memutuskan aktiviti penjualan makanan dibenarkan secara dine-in, bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran bermula jam 6 pagi hingga jam 10 malam.

“Namun, pemilik restoran perlu menugaskan sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi premis yang membenarkan dine-in untuk memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis, memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan dan menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada
satu-satu masa,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata, sidang khas MKM semalam juga bersetuju untuk mewajibkan penggunaan aplikasi My Sejahtera di kawasan capaian internet yang luas.

Katanya, ini kerana didapati pelanggan tidak mencatatkan nama dan nombor telefon yang betul hingga menyukarkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes positif COVID-19 di premis terbabit.

“Arahan ini berkuat kuasa serta-merta, bagaimanapun pengecualian diberikan bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman,” katanya.

Ismail Sabri berkata, keputusan MKN membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula dengan SOP yang ketat, bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak dan kedai peralatan sukan.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyah kuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis serta memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Kedai pakaian pula perlu menyediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya.

Katanya butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Views:

595
Kongsi :
Previous post Kartel daging: syarikat, dua individu didakwa guna logo halal palsu
Next post Pekerja kilang rugi RM1,000 ditipu kenalan ‘palsu’
Ubah saiz-+=