Pekerja kilang rugi RM1,000 ditipu kenalan ‘palsu’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 Feb. – Seorang pekerja kilang dari Masjid Tanah rugi RM1,000 akibat ditipu individu menyamar dengan menggunakan profil WhatsApp memaparkan gambar rakan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E. Sudra Rajan berkata, kejadian berlaku 7 Februari lalu apabila mangsa seorang perempuan berusia 19 tahun dihubungi suspek yang mahu meminjam wang selepas akaunnya disekat.

Katanya, tanpa berasa curiga, mangsa memasukkan wang RM1,000 ke akaun bank yang diberikan, namun mendapati dirinya ditipu apabila dihubungi rakan sebenarnya yang memaklumkan akaun WhatsApp miliknya telah digodam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sundra Rajan. Gambar fail.

“Hasil semakan pihak polis mendapati dua lagi rakan mangsa juga ditipu oleh suspek yang sama dan menggunakan modus operandi yang sama.

“Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Masjid Tanah dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 33 kes tipu menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang telah direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM187,700.

Manakala bagi tahun ini, terdapat tiga kes sama direkodkan dengan nilai kerugian berjumlah RM11,500.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya terhadap panggilan atau WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali yang mendakwa kenalan lama anda.

“Orang ramai juga dinasihat supaya berhati-hati berkongsi maklumat peribadi peribadi di media sosial kerana bimbang ia akan disalah guna oleh sindiket penipuan,” katanya.

Views:

431
Kongsi :
Previous post Makan di kedai dibenarkan, terhad dua orang
Next post Latihan berpusat dibenar bagi pasukan MFL, MHL dan STL mulai 15 Februari ini
Ubah saiz-+=