Makmal Diagnostik COVID-19 PBM jangka terima sampel COVID-19 minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Makmal Diagnostik COVID-19 milik kerajaan negeri pertama Malaysia di bawah kendalian Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) dijangka menerima 250 sampel pertama pada minggu hadapan.

Timbalan Pengarah (Pembangunan Perniagaan) PBM, Muhammad Hazwan Mat Kamar berkata, selepas memperolehi kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mula beroperasi 1 Jun lalu, makmal saringan itu mula menerima tempahan daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta klinik awam dan swasta.

Katanya, makmal berkenaan mampu menjalankan 250 RT-PCR dan ujian RTK-Antigen setiap hari dan keputusan akan diperolehi dalam tempoh 24 jam bagi ujian RTK-PCR manakala kurang dari satu jam bagi ujian RTK-Antigen.

TIMBALAN Pengarah (Pembangunan Perniagaan) PBM, Muhammad Hazwan.

“Kita sudah menerima tempahan dan menjangkakan akan menerima sampel pada minggu hadapan malah kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi membantu keperluan yang diperlukan.

“Selain itu, kita turut membuka peluang kepada agensi kerajaan atau klinik awam serta swasta dan syarikat swasta untuk menghantar sampel kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di makmal berkenaan di Jalan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hang Tuah Jaya di sini hari ini.

Muhammad Hazwan berkata, setakat ini kapasiti untuk menjalankan saringan makmal terhad kepada 250 sehari, namun kapasiti itu akan ditingkatkan berdasarkan permintaan.

“Setakat ini tenaga kerja makmal berkenaan mencukupi bagi menampung bilangan sampel yang dihantar untuk ujian saringan terbabit,” katanya.

Kakitangan PBM menjalankan ujian terhadap sampel saringan COVID-19 yang diterima.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata Makmal Diagnostik COVID-19 PBM itu mencipta sejarah apabila diberi kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan ujian RT-PCR dan RTK-Ag bagi mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Jelasnya, sistem Makmal Diagnostik PBM itu disokong oleh sistem Tracvirus, sekali gus berupaya membantu aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabak terbabit dalam
komuniti.

Makmal saringan COVID-19 PBM itu dilengkapi dengan tiga ‘Semi Auto Extractor’ dan satu mesin PCR serta kit yang digunakan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia.

Untuk rekod, terdapat 35 fasiliti swasta di seluruh negara termasuk makmal PBM diiktiraf menjalankan kedua-dua ujian berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post Pengusaha pusat urut dikompaun RM10,000 beroperasi ketika PKP 3.0
Next post Pemilik kilang jangan tipu kehadiran pekerja – MKN negeri
Ubah saiz-+=