Pemilik kilang jangan tipu kehadiran pekerja – MKN negeri

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Pemilik kilang diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan hanya membenarkan 60 peratus pekerja semasa pengoperasian premis.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, ini kerana pihaknya menerima beberapa aduan terdapat kilang ingkar SOP ditetapkan.

“MKN negeri sedang memerhati kilang-kilang ini, jangan cuba mengeksploitasi pekerja-pekerja lebih daripada 60 peratus.

“Sebab aduan kita terima ada pemilik premis suruh pekerja hadir tanpa perlu ambil kehadiran supaya bilangan itu tak lebih dari 60 peratus.

“Ini amaran awal, 60 peratus ini bukan baru dilaksanakan, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh lagi, jadi tiada isu tak patuh SOP,” katanya kepada MHI.

MOHD Nasrul (dua dari kanan) ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kilang di Jasin.

Menurutnya, pihaknya buat masa ini sedang mengumpul aduan yang diterima.

“Kita dapat aduan dan cuba kumpul dari semasa ke semasa yang kita akan selaraskan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita harapkan sebelum kita buat pemeriksaan mengejut, semua kilang perlu patuh pada SOP dan jangan cuba menipu,” katanya lagi.

Terdahulu MKN negeri mengadakan pemantauan di kilang-kilang perindustrian di Daerah Jasin semalam.

Menurut Mohd Nasrul hasil pemantauan itu pihaknya mendapati kesemua pemilik kilang mematuhi aspek beroperasi dengan hanya 60 peratus pekerja sahaja.

“Semalam kita membuat pemantauan bersama-sama dengan Invest Melaka sebagai ‘task force’ di daerah Jasin bagi pemantauan dari segi operasi kilang.

“Kita buat operasi ini bukan berdasarkan aduan, tapi berdasarkan operasi biasa dahulu,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post Makmal Diagnostik COVID-19 PBM jangka terima sampel COVID-19 minggu depan
Next post Konon terbabit jenayah jual vaksin, wang simpanan pesara RM60,000 lesap
Ubah saiz-+=