Konon terbabit jenayah jual vaksin, wang simpanan pesara RM60,000 lesap

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Seorang pesara kerajaan dari Bukit Baru, dekat sini, rugi RM60,000 selepas ditipu sindiket dipercayai Macau Scam dalam kejadian pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, lelaki berumur 60 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dari pihak Mahkamah Sivil Labuan yang mengatakan mangsa terlibat dengan kes jenayah menjual vaksin COVID-19.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai Sarjan Farah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan meminta mangsa memasukkan wang simpanannya bagi tujuan siasatan.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan

“Mangsa tanpa berasa curiga telah membuat pindahan wang berjumlah RM60,000 ke akaun Maybank suspek.

“Selepas mengikuti arahan tersebut, mangsa telah memaklumkan kejadian kepada rakan-rakan sebelum dimaklumkan dia telah ditipu sindiket Macau Scam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sundra Rajan berkata, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Melaka Tengah dan kes disiasat berpandukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan yang mencurigakan selain diingatkan bahawa sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan yang lain dalam satu panggilan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Sundra Rajan berkata, kes membabitkan penipuan ‘scammer’ di negeri ini terus meningkat saban tahun.

Katanya, antara kes yang paling kerap dilaporkan ialah membabitkan penipuan jual beli secara dalam talian yang telah merekodkan 93 kes sejak Januari hingga Mei tahun ini dengan nilai kerugian RM769,986.58.

Jelasnya, penipuan melalui medium Facebook menjadi antara yang tertinggi di Melaka iaitu merekodkan 40 kes, diikuti penipuan melalui Instagram (30 kes) dan Mudah.my (15 kes).

“Kebanyakan mangsa yang terlibat ialah dalam kalangan pekerja swasta membabitkan usia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post Pemilik kilang jangan tipu kehadiran pekerja – MKN negeri
Next post Perlindungan keselamatan sosial diperluas kepada pekerja domestik berkuat kuasa 1 Jun
Ubah saiz-+=