
WRUR JADI PLATFORM PEMUDAH CARA HIDUP RAKYAT
KESIDANG 13 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bukan sekadar platform mendengar aduan rakyat, malah menjadi medium pemudah cara yang membantu menyelesaikan pelbagai isu masyarakat termasuk kebajikan, pembangunan setempat dan peluang ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, pelaksanaan WRUR selama seminggu berjaya menghimpunkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dalam membantu pelbagai isu serta permasalahan rakyat.
Jelas beliau, kehadiran pelbagai agensi di bawah satu bumbung membolehkan banyak isu diselesaikan dengan lebih pantas tanpa rakyat perlu melalui proses yang panjang dan rumit.
Sebagai contoh, beliau menceritakan mengenai seorang usahawan muda yang hadir mendapatkan bantuan bagi memulakan perniagaan gunting rambut menggunakan konsep kabin.
Katanya, usahawan itu telah memperoleh tapak yang sesuai dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, namun berdepan kesukaran mendapatkan bekalan elektrik kerana perlu melalui beberapa prosedur teknikal yang lazimnya mengambil masa yang panjang.
“Melalui WRUR, kita dapat membantu menyelaras dan memudah cara urusan melibatkan pelbagai agensi supaya permohonan seperti ini dapat diproses dengan lebih lancar.
“Kita tetap mengikut semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Perniagaan itu mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan (pbt), mendapat sokongan JPKK dan wakil rakyat serta berada di lokasi yang sesuai dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir ke Sesi Walkabout Rumah Pangsa Taman Merdeka dan Hari Aduan Rakyat Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Allex berkata, jumlah aduan yang diterima sepanjang program berlangsung juga menunjukkan trend positif apabila banyak isu tempatan berjaya ditangani lebih awal menerusi kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ahli Majlis, Japerun dan agensi berkaitan.
Mengulas pencapaian paling bermakna sepanjang seminggu WRUR DUN Kesidang berlangsung, beliau berkata penganjuran Anugerah 100 Terbaik melibatkan pelajar sekolah merupakan antara inisiatif yang paling memberi kesan kepada masyarakat.
Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sahaja menghargai kecemerlangan akademik, malah turut mengambil kira aspek kepimpinan, sahsiah, penglibatan kokurikulum dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
“Saya sendiri mendengar maklum balas daripada guru besar, guru-guru dan ibu bapa yang berasa bangga apabila anak-anak mereka menerima penghargaan ini. Bukan semua anak-anak cemerlang dalam akademik semata-mata. Ada yang menyerlah dalam sukan, kepimpinan dan membantu rakan-rakan serta guru.
“Golongan seperti ini juga perlu diberikan pengiktirafan kerana mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


