Malaysia, China lanjutkan pengecualian visa untuk kukuhkan hubungan dua hala

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk hubungan persahabatan, menurut satu Kenyataan Bersama antara dua negara berkenaan hari ini.

Kenyataan itu berkata China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026.

“Kedua-dua pemimpin (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang) mengalu-alukan minat yang mendalam untuk meneruskan perundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bersama bagi memudahkan kemasukan rakyat Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Bersama itu turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan ke tahap baharu, mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik bersama dan pendidikan digital.

Ia termasuk bagi mengiktiraf institusi pendidikan tinggi untuk bersama-sama menubuhkan institut pengajian lanjutan, meningkatkan interaksi antara badan pemikir dan institusi pendidikan tinggi, memupuk lawatan bersama antara guru serta pelajar, dan meningkatkan pertukaran budaya serta pembelajaran bersama.

“Kedua-dua pihak mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dalam bidang media, berita dan penerbitan, filem dan penyiaran bagi meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat terutamanya generasi muda,” katanya.

Malaysia dan China juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pencalonan multinasional bagi memasukkan unsur tarian singa pada Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Budaya Tak Ketara (ICH) Kemanusiaan, memandangkan kedua-dua pihak meraikan tarian singa sebagai satu bentuk perkongsian sejarah dan bersama-sama mempromosikan pemeliharaan warisan bersama.

Kenyataan itu juga berkata kedua-dua negara turut mengesahkan untuk melaksanakan pusingan baharu penyelidikan bersama mengenai perlindungan panda bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan mengukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik.

Li berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post Pesawat Malaysia Airlines dari Hyderabad berpatah balik susulan masalah enjin
Next post MPAG raih kutipan cukai taksiran RM12.8 juta
Ubah saiz-+=