Mangsa banjir di Johor berkurangan, Pahang dan Melaka kekal

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor menurun sedikit pagi ini manakala Pahang dan Melaka merekodkan jumlah sama.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,714 orang berbanding 3,770 individu petang semalam.

Beliau berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 1,063 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,679 orang, diikuti Muar (1,190), Tangkak (712) dan Batu Pahat (133).

โ€œCuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah termasuk daerah yang terjejas banjir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata empat sungai kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Panchor, Muar; dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 301 mangsa banjir masih berada di lapan PPS setakat pagi ini, tidak berubah dari malam tadi.

Daerah Pekan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 161 orang diikuti Rompin 79 orang dan Maran dengan 61 orang.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca baik di Pekan dan Rompin sepanjang hari manakala Maran dijangka mengalami hujan di sesetengah kawasan pada tengah hari ini.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka kekal 341 orang daripada 91 keluarga pagi ini dengan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post (Kemas kini) Pengeluaran sawit dijangka meningkat 30 peratus
Next post (Kemas kini) Melaka rekod 3,633 keluarga status miskin tegar – KM
Ubah saiz-+=