(Kemas kini) Pengeluaran sawit dijangka meningkat 30 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

REMBIA 9 Jan – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan peningkatan 30 peratus pengeluaran minyak sawit pada 2022 berbanding tahun lalu.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, peningkatan itu disebabkan permintaan pengeluaran yang tinggi daripada beberapa negara antaranya Timur Tengah dan Asia Selatan.

Beliau berkata, Malaysia juga akan menjadi negara pengeluar yang akan mengetuai pengeluaran minyak sawit ke negara Asia dan Timur Tengah.

“Tahun ini kita sasarkan peningkatan sebanyak kira-kira 30 peratus berbanding tahun lepas. Pendapatan negara semasa COVID-19 meningkat sebanyak 40 peratus iaitu daripada RM54 bilion kepada RM91 bilion.

“Negara-negara asia masih lagi mengambil sawit kita kerana kualitinya dan fokus kita juga di central asia. India yang menjadi pengeksport utama dan diikuti beberapa negara lain antaranya Bangladesh serta Pakistan,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada Program Ziarah Prihatin Pasca Banjir yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, di Pengkalan, hari ini.

Menurut Zuraida, tekanan diberikan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat tidak menjejaskan permintaan daripada negara Asia kerana mereka masih lagi mengimport sawit Malaysia kerana kualitinya.

“Negara-negara Asia masih lagi mengimport sawit kita kerana kualitinya yang mana mereka (EU dan Amerika Syarikat) hanya mengambil kira-kira 12 peratus sahaja pengeluaran minyak sawit negara.

“Kita akan menjadi serampang dua mata iaitu kita akan perkukuhkan pasaran di sebelah Asia dengan perkuatkan lagi imej serta kualiti dan dalam masa sama kita tangani tekanan diberikan oleh pihak ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai berlakunya kekurangan minyak masak paket di pasaran, beliau berkata, dipihak pengeluaran tiada masalah dan pihaknya membekal minyak kepada pengusaha.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post COVID: 11 kematian direkodkan semalam, terendah sejak April 2021
Next post Mangsa banjir di Johor berkurangan, Pahang dan Melaka kekal
Ubah saiz-+=