Sorting by

×

MASJID CINA TERIMA SUMBANGAN RM50,000 UNTUK KESELESAAN JEMAAH

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PAYA RUMPUT 11 September – Masjid Cina, di sini, bakal dilengkapi fasiliti lebih lengkap selepas menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada Kerajaan Negeri.

Sumbangan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu merupakan antara usaha yang diperjuangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin bagi memastikan keselesaan jemaah di masjid berkenaan.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi membaiki dan menambah pendingin hawa di masjid ikonik Negeri Melaka itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi MAIM kerana meluluskan peruntukan ini sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap institusi agama Islam di Melaka.

“Selain Masjid Cina, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, MAIM turut meluluskan sumbangan bagi menambah baik fasiliti surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran DUN Paya Rumput sempena Maulidur Rasul dan penyerahan sumbangan cek berjumlah RM50,000 di Masjid Cina, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis serta pemimpin setempat.

Menurut Rais, sempena Maulidur Rasul 1447H/2025M, pihaknya turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM1,000 kepada semua masjid di bawah DUN Paya Rumput bagi menganjurkan program-program maulid sempena bulan kelahiran Nabi Muhamad S.A.W.

“Kita mahu menyuburkan program bagi memuliakan junjungan besar Nabi Muhamad S.A.W dan diharap semua umat Islam dapat hadir ke program yang dianjurkan di masjid kariah masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

792
Kongsi :
Previous post TUJUH PROJEK NAIK TARAF INFRASTRUKTUR KAMPUNG BUKIT KATONG