Masjid, surau di Melaka perlu ada anjakan paradigma – KM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Semua masjid dan surau di negeri ini perlu melakukan anjakan paradigma dalam menjadikan institusi keagamaan itu lebih mesra masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain mengamalkan strategi pengurusan dan pengimarahan masjid secara profesional, beliau berpendapat terdapat tujuh perkara boleh diambil perhatian oleh jawatankuasa setiap masjid dan surau.

Perkara pertama, jelasnya, Kempen Jom Ke Masjid perlu diperkasakan bagi menarik masyarakat menunaikan ibadah seperti mana yang dilakukan Masjid Taman Temerloh Jaya yang berjaya menjadikan solat subuh di masjid itu dipenuhi jemaah bagaikan solat Jumaat.

“Selain itu, setiap masjid juga perlu melibatkan orang muda dalam Ahli Jawatankuasa Masjid kerana anak muda ini rata-rata mempunyai pelbagai idea baharu.

“Ketiga, wujudkan bahan bacaan berbentuk Islamik atau info yang menarik di perpustakaan masjid yang meraikan kehendak semua jemaah.

“Keempat, adakan majlis makan atau sembang santai dengan jemaah dalam uslub dakwah yang mengharmonikan, bukan meliarkan. Jemput sekali golongan bukan Islam untuk bersama-sama kita agar dapat menyebar luas ilmu tentang agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengimarahan Masjid Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka Mohd Firdaus Shaari.

Mengulas lanjut, Sulaiman menambah, bagi perkara kelima, setiap masjid boleh membina tempat yang serasi dan selesa bagi orang muda seperti ‘coffee corner’ atau kemudahan capaian internet WiFi di institusi masing-masing.

“Masjid dan surau juga boleh wujudkan laman yang mesra masyarakat sebagai sudut terapi yang ada kolam ikan dan pondok waqaf.

“Dan yang terakhir memberi insentif kepada orang muda yang melazimi masjid dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di bawah anjuran masjid,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Sulaiman turut meminta setiap masjid dan surau di negeri ini agar memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan terutama menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

Malah, beliau turut menggalakkan setiap jawatankuasa agar mengadakan program gotong-royong sebelum tibanya Ramadan demi memastikan persekitaran dan kemudahan masjid dijaga sebaiknya, sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1072
Kongsi :
Previous post 60 nelayan Melaka terima rumah baharu
Next post 110 pelajar terima sumbangan ‘Back To School’ MPJ
Ubah saiz-+=